BINTANGOR: Sebuah blok bangunan asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Serau Julau ranap dalam kebakaran, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, insiden kira-kira 4.20 petang itu memusnahkan bangunan dua tingkat yang terdiri daripada asrama lelaki, asrama perempuan dan tiga unit bilik pegawai pembantu pengurusan murid.

Katanya, anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.20 petang.

“Bagaimanapun kesemua murid termasuk warden terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Namun, sebaik tiba di situ, bomba mendapati bangunan asrama tidak kekal itu telah musnah sepenuhnya. Kejadian memusnahkan keseluruhan asrama termasuk perabot di dalamnya” katanya ketika dihubungi.

 

Beliau berkata, laluan sempit menyebabkan jentera LFRT tidak dapat melalui laluan ke sekolah berkenaan memaksa mereka menggunakan pacuan empat roda Hilux untuk membawa peralatan memadam kebakaran ke tempat kejadian.

Katanya, hujan renyai turun ketika kejadian ada sumber mendakwa api bermula di bilik mandi, bahagian luar asrama perempuan.

“Bagaimana pun, kita akan melakukan siasatan lebih terperinci untuk mengenalpasti punca sebenar kejadian ini.

Menurutnya, api merebak pantas namun dapat dikawal daripada merebak ke bangunan yang berhampiran.

“Kita bersyukur tidak ada yang cedera dan difahamkan semua murid diarah pulang ke rumah masing-masing,” katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada 8.30 malam.