KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membina dua Gerbang Internet Antarabangsa bagi membolehkan kelajuan internet lebih tinggi sehingga 5G di negeri ini, sebagai sebahagian daripada tumpuan utamanya dalam Rancangan Malaysia ke-12, menyediakan rangkaian penting bagi pelaksanaan ekonomi digital di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau difahamkan kedua-dua gerbang itu, masing-masing dibina di Kucing dan Miri, akan berupaya menyediakan kelajuan sehingga 20 terabait.

“Ini akan membolehkan kita mencapai kelajuan internet 5G,” katanya kepada media selepas melancarkan Eksplorasi Robotik dan Dron Antarabangsa Borneo  2019, di sini hari ini, anjuran bersama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak dan Lembaga Multimedia Sarawak.

Selain pameran, perbincangan dan bengkel, program tiga hari itu juga akan diisi dengan pertandingan berkaitan dron dengan hampir 100 pasukan dari Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand dan Filipina bersaing untuk mempamerkan kemahiran masing-masing.

Apabila infrastruktur digital menghubungkan negeri ini menerusi kabel gentian optik dasar laut dengan seluruh dunia disiapkan,  Abang Johari menegaskan kerajaan seterusnya hanya perlu memberi tumpuan kepada ketersambungan internet di daratan di seluruh Sarawak.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah rangkaian kabel di daratan menggunakan gentian optik. Kami harap di bawah Rancangan Malaysia ke-12, kita akan dapat mempertingkatkan ketersambungan (internet) ke 5G. Dari segi latihan, Pusat Latihan Kecemerlangan kini bekerjasama dengan Huawei dan Huawei mempunyai perkakasan bagi 5G.

“Dengan perkakasan ini ditambah pula dengan kita punya infrastruktur, kita akan dapat dihubungkan dengan mana-mana tempat di dunia secara tepat masa. Ini memerlukan banyak pelaburan dan kami telah menyediakan peruntukan untuk tujuan itu,” katanya.  — Bernama