BINTANGOR: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) perlu lebih proaktif dalam membantu mencegah penularan wabak sosial dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol berkata, sebagai pemimpin peringkat akar umbi, mereka harus peka dan bijak menangani masalah itu sama ada di peringkat kampung mahupun rumah panjang.

Sehubungan itu katanya, mereka perlu mengenal pasti ruang kelemahan yang membawa kepada penularan jenayah, merangka langkah membendungnya selain mencegah melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.

“Dalam memerangi gejala ini, KMKK tidak boleh berseorangan sebaliknya mereka perlu menjalinkan hubungan baik dan bekerjasama dengan agensi seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Rela dan KRT,” katanya ketika menyempurnakan perasmian program Run Against Crime anjuran IPD Meradong di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Saberkas dan kelab-kelab belia harus lebih aktif mengadakan pelbagai program bersesuaian bagi menarik penyertaan lebih ramai golongan muda.

Ujarnya, program seperti seperti sukan, keusahawanan, kerjaya, kem motivasi dan lain-lain lagi bukan sahaja memberi manfaat besar kepada generasi muda tetapi juga mampu mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang bermanfaat.

“Walaupun Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sedang giat membangunkan infrastruktur terutama di luar bandar, kita wakil rakyat GPS sentiasa diingatkan agar tidak mengabaikan pembangunan kerohanian dan modal insan dalam kalangan warga belia,” katanya.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Sekam Anoi, Pegawai Daerah Meradong, Baijuri Bidin, Setiausaha Polis Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie, Teng Ung Woo dan pemimpin masyarakat setempat.

Program diserikan dengan kempen anti dadah yang melibatkan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarikei itu, bermatlamat mengalak penyertaan aktiviti golongan belia dalam aktiviti lebih sihat.

Selain ceramah dan pameran berkaitan dadah, program juga akan diserikan dengan pelbagai acara menarik yang lain antaranya, persembahan busking, pertandingan memasak, bolasepak jalanan, takraw bulatan dan lain-lain lagi.
Pada masa yang sama, penganjuran program turut dibantu Parti PBB N.46 Meradong, Saberkas, Pemuda PBB dan Skuad Sayang.

Dalam pada itu, Abdullah yang juga ADUN N.42 Semop membuktikan komitmen beliau menyokong program bermanfaat tersebut dengan menghulurkan sedikit peruntukan bagi membantu kejayaan penganjurannya.

Program mendapat sambutan positif.