SEOUL: Sejak undang-undang baharu mengenai gangguan seksual di tempat kerja dikuatkuasakan pada Julai, Kementerian Buruh telah menerima kira-kira 800 kes, lapor agensi berita Yonhap memetik data kerajaan.

Data itu mendedahkan untuk tempoh 16 Julai hingga 19 September, sejumlah 794 kes membabitkan gangguan seksual yang dilakukan pegawai atasan.

Kata-kata berbaur lucah menjadi kes paling banyak dilaporkan iaitu 353 kes, diikuti skandal di tempat kerja (209 kes) dan membuli serta cercaan (93 kes).

Daripada segi jenis pekerjaan pula, 158 kes melibatkan gangguan di tempat kerja dalam sektor pembuatan, 119 kes (pengurusan fasiliti perniagaan) dan 96 kes (perkhidmatan kesihatan dan kebajikan).

Di bawah undang-undang baharu gangguan di tempat kerja ditakrifkan sebagai perbuatan yang menimbulkan tekanan emosi dan sentuhan fizikal atau mewujudkan persekitaran kerja yang tidak selesa oleh majikan atau pekerja dengan menggunakan status atau kuasa mereka untuk bertindak di luar norma tugasan.

Undang-undang itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga 30 juta won (US$25,423) kepada majikan dan invidu yang didapati bersalah. – Bernama