BINTULU: Sekiranya cabaran teknologi yang kompleks pada era baharu ini tidak diberi penekanan, Malaysia akan ketinggalan dalam persaingan global, jelas Pengarah Pusat Penyelidikan & Inovasi, Jabatan Politeknik & Kolej Komuniti Pendidikan, Malaysia Dr. Ishak Mohamad.

Katanya, era Revolusi Perindustrian 4.0 bermula dengan kemunculan supercomputer, robot pintar, kenderaan tanpa pemandu, suntingan genetik dan perkembangan neuroteknologi yang membolehkan manusia mengoptimumkan fungsi otak.

“IR 4.0 juga melibatkan teknologi automasi dan memberikan cabaran baharu kepada semua sektor dan tentunya pihak yang memerlukan. “Sehubungan itu, melalui Techon 2019 ini ia berupaya menyumbang kepada pemikiran baharu dan pemikiran kritikal dalam menghasilkan inovasi dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan sains sosial sejajar dengan IR.40 ini,” katanya dalam Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Inovasi dan Teknologi Kelima (Techon) di sini, kelmarin.

Jelasnya, persidangan itu mampu menggalakkan kumpulan penyelidik, ahli akademik dan pengamal berkongsi serta menganalisis isu atau idea yang berupaya memberi tumpuan kepada transformasi teknologi yang memainkan peranan penting dalam hampir semua aspek kehidupan manusia.

“Ini sejajar dengan kejayaan Politeknik Mukah yang berjaya memperoleh kebolehpasaran graduan dengan 95 peratus graduannya mendapat tempat di pasaran pekerjaan, membuktikan pendidikan TVET tersebut mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Dia turut menggesa semua pihak bekerjasama meningkatkan budaya inovasi dalam masyarakat dan menyokong agenda Kerajaan ke arah negara maju dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Turut hadir ialah Direktor Politeknik Negeri Sambas Indonesia Bapak Mahyus, Pengarah Politeknik Mukah Dullah Muluk, Pembicara Keynote untuk Techon 2019 Dr. Bambang Sudaryana dari Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Cipasung Tasikmalaya Jawa Barat Indonesia, penceramah Techon 2019 Profesor Madya Dr. Mohd Sanusi Azmi dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka, pengarahdari semua Politeknik Malaysia serta semua timbalan pengarah dan Ketua jabatan akademik.