KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak akan memperluaskan Makmal Pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di lebih banyak sekolah di negeri itu bagi meningkatkan kecenderungan pelajar terhadap subjek tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata,setakat ini, 10 buah makmal tersebut telah diwujudkan di beberapa sekolah di Kuching, Sarawak, Lawas dan Limbang sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2017.

“Kita dah lihat kesannya dengan adanya makmal STEM ini…para pelajar boleh menghasilkan inovasi sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival STEM Satok 2019 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Sekolah Kebangsaan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau menegaskan makmal STEM diwujudkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama UNIMAS dalam usaha mendidik serta memupuk minat dan kemahiran anak-anak muda dalam menghadapi cabaran masa depan.