MUKAH: Menjelang 2020, gaji guru Sedidik akan dibayar mengikut kelayakan dan menjelang 2021, semua guru Sedidik sedia ada dan bakal mengajar perlu memiliki kelayakan sekurang-kurangnya diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abullah berkata, fokus itu penting untuk memastikan semua guru mempunyai kelayakan berkualiti untuk mendidik anak-anak kecil.

“Kita telah bentangkan dalam  kabinet bahawa Sedidik Sdn Bhd di bawah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak ingin fokus dua sasaran itu menjelang 2020 dan 2021.

“Setelah guru Sedidik mendapat kelayakan sewajarnya, kita akan bayar mengikut kelayakan itu mulai 2020. Sebelum ini, kita tahu ada guru mempunyai kelayakan sepatutnya tidak dibayar dengan gaji sewajarnya,” katanya dalam lawatannya ke Taska Sedidik Mutiara Mukah.

Jelasnya, dedikasi tinggi guru terhadap profesion ini yang mengutamakan aspek mendidik dan membimbing anak-anak berbanding melihat gaji sebagai perkara kedua harus diberi pujian.

“Sedidik kini juga membincangkan dan merancang untuk mengenal pasti premis Sedidik yang perlu dinaik taraf dan diperbaiki mulai 2020 kerana kami mahu Sedidik mempunyai bangunan sendiri,” jelasnya.

Tegasnya lagi Sedidik Sdn Bhd akan menjadi IPAKK pertama mengamalkan polisi pintu terbuka terhadap penerimaan anak-anak kecil tidak kira mereka berkeperluan khas (OKU) atau tidak menerusi Resolusi Randau Pendidikan yang dilakukan tahun ini.

“Semua anak-anak diterima untuk belajar bersama-sama di sini. Kami tahu anak-anak ini berhak mendapat perlindungan, keselamatan, kasih sayang dan paling penting pendidikan ini,” katanya.

Ujarnya lagi, kajian turut menunjukkan apabila anak-anak berkeperluan khas ini ditempatkan belajar bersama-sama kanak kanak lain, kadar pemulihan lebih pantas.

“Kanak kanak lain juga dapat belajar tentang ketidakupayaan, lebih bersikap prihatin, hormatmenghormati, dan empati terhadap rakan mereka yang berkeperluan khas ini,” jelasnya.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah RM6,000 serta sijil penghargaan kepada Taska Sedidik Mutiara Mukah kerana memenangi tempat kedua bagi Anugerah Taska Berkualiti 2019.