SARIKEI: Komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat terbukti apabila menaiktarafkan Dewan Sri Apong untuk kegunaan penduduk Kampung Drahman Keria di sini.

Usaha itu dilakukan dengan menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Kini, Dewan Sri Apong bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk program kemasyarakatan tetapi juga pelbagai kegiatan lain termasuk sukan dan kebudayaan sekaligus merancakkan aktiviti penduduk setempat.

Sehubungan itu, Ketua Kampung Jalan Haji Karim dan Masjid Baru, Hossin Gani memberitahu, pada mulanya, kawasan itu hanya tanah lapang sebelum dibina dewan berbumbung.

Lokasi tersebut katanya, menjadi tumpuan penduduk mengadakan aktiviti kemasyarakatan malah, kerap digunakan oleh golongan belia untuk bersukan.

“Saya kagum dengan pengurusan JKKK Drahman Keria. Mereka cukup aktif menganjurkan program melibatkan penyertaan masyarakat dengan menjadikan Dewan Sri Apong sebagai pusat utamanya.

Majlis diserikan acara memotong nasi pulut kuning

“Prihatin dengan keperluan penduduk, Kerajaan Sarawak membantu menaiktarafkan kemudahan ini secara berperingkat-peringkat.

Akhirnya, penduduk berpeluang menggunakan kemudahan itu dengan lebih selesa berbanding sebelum ini,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Dalam pada itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, dewan berkenaan mampu berperanan sebagai platform untuk memupuk semangat perpaduan dan kejiranan, selain digunakan sebagai pusat melaksanakan pelbagai aktiviti.

“ Dewan baharu ini memberi kemudahan serta tempat yang lebih selesa kepada penduduk untuk menganjurkan pelbagai program yang bermanfaat.

Sehubungan itu, saya berharap kemudahan ini diurus serta dijaga dengan baik,” katanya.

Beliau yang juga ADUN N.41 Kuala Rajang berkata, projek berkenaan juga sebahagian inisiatif kerajaan dalam usaha menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.

“Sudah pasti, usaha Kerajaan GPS tidak hanya tertumpu kepada soal pembangunan infrastruktur tetapi merangkumi segenap sudut termasuk kebajikan, ekonomi dan sosial.

“Justeru, bukti keprihatinan kerajaan GPS tidak akan terhenti di sini sahaja. Sebaliknya akan ada lebih banyak projek lain menyusul selepas ini khusus untuk rakyat di DUN Kuala Rajang,”ujarnya.

ADUN N.41 Kuala Rajang, Datu Len Talif menyampaikan sijil penghargaan kepada mereka yang terlibat menjayakan program.