KUCHING: Mereka yang digigit anjing, kucing atau monyet perlu mendapatkan rawatan segera sekarang kerana wabak rabies di negeri ini telah mengorban satu lagi nyawa, mangsa ke-20 kes kematian wabak itu setakat ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau menegaskan peraturan mudah itu boleh menyelamatkan nyawa terutamanya pada masa ini kerana negeri ini berhadapan wabak yang membawa maut.

“Saya ulangi di sini … sebaik sahaja digigit, mangsa perlu membasuh luka gigitan dengan sabun dan mengalirkan air ke atasnya selama 10 ke 15 minit. Kemudian ia perlu mendapatkan rawatan dengan segera.  Ini adalah penting tidak kira sama ada luka itu adalah serius atau sebaliknya.

Kami mempunyai kes lampau yang mana mereka yang mendapatkan rawatan di klinik, sembuh. Kami mempunyai kemudahan untuk merawat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam berkata seorang lelaki berusia 64 tahun dari Mukah menjadi mangsa terbaharu yang maut akibat rabies selepas dia digigit seekor anjing yang diambil daripada saudaranya di Kanowit.

Merujuk kepada kes terbaharu itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata lelaki itu mungkin dapat diselamatkan jika dia mengikuti saranan yang diberikan.

“Laporan itu menyatakan lelaki itu digigit pada 21 Mei semasa memberi anjing itu makan.  Walaupun dinasihati supaya mendapatkan rawatan ke atas luka yang dialaminya, dia enggan dan berkata ia tidak serius.

Hanyalah pada 6 Ogos, dia mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu, dan kemudiannya meninggal dunia pada 19 Ogos di Unit Rawatan Rapi hospital itu,” katanya.

Uggah juga mengingatkan mereka yang suka membela haiwan supaya memeriksa latar belakang anjing mereka seperti berasal dari mana dan memastikannya diberikan pelalian, sebelum dibela.  – Bernama