BELANJAWAN 2018 dianggap sebagai tahun memperkasakan wanita apabila mengangkat peranan wanita daripada dipinggirkan dalam pasaran kerja.

Belanjawan tahun itu disifatkan sebagai belanjawan berani kerana tidak pernah berlaku sebelum ini apabila keperluan untuk semua syarikat berkaitan kerajaan, termasuk syarikat pelaburan, mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam lembaga pengarah menjelang akhir 2018.

Ia juga dianggap selaras dengan cadangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Usaha itu dianggap sebagai membela wanita supaya tidak dipinggir daripada menjadi penyumbang kepada pembangunan wanita. Ia juga memberi kewajaran kepada wanita apabila menambah cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari. Ia juga satu perkembangan menggalakkan kerana kerajaan memudahkan wanita yang mengandung lima bulan dan ke atas pulang ke rumah awal.

Malah belanjawan yang sama memperuntukkan RM27 bilion untuk penjagaan kesihatan bagi menggalakkan orang ramai menggunakan hospital kerajaan terutamanya dalam kalangan wanita.

Manakala pada Belanjawan 2019, kerajaan memperkenalkan Skim Caruman Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Suri. Dalam skim itu, kerajaan menyediakan geran padanan RM40 setiap bulan sebagai insentif kepada suaminya mencarum dengan kadar minimum RM5 sebulan kepada simpanan persaraan isteri di bawah peruntukan kerajaan sebanyak RM45 juta.

Ia termasuk mengangkat peranan suri rumah tangga apabila kerajaan memperkenalkan kadar tambahan Bantuan Sara Hidup sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada empat orang.

Dengan kata lain, setiap isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah dan mempunyai anak empat orang akan menerima bantuan keseluruhan sebanyak RM1,480.

Diharap Belanjawan 2020 terus mengiktiraf wanita sebagai penyumbang tenaga dalam sektor ekonomi Malaysia.

Wanita memiliki kemahiran yang tertentu yang berguna untuk menjadikan diri mereka sebagai satu sumber manusia yang lengkap.

Sikap rajin bekerja dan tekun serta memberikan perhatian yang sepenuhnya ketika bekerja menjadikan golongan ini sasaran utama industri kilang di Malaysia pula.

Jadi, kaum wanita memang mempunyai peranan besar dalam memastikan sumber manusia negara ini berupaya memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi negara kita.

Dan, sewajarnya wanita dalam apa bidang sekalipun harus diiktirafkan peranannya sebagai sebahagian daripada kumpulan penting yang boleh menjaga negara.

Mereka bukan lagi dianggap sebagai orang yang duduk di dapur semata-mata kerana walaupun sekadar suri rumah tangga sepenuh masa, namun peranannya dapat mengubah dunia.