KUCHING: Seorang warga Indonesia mengaku bersalah menyeludup enam pendatang haram dijatuhi lapan tahun penjara oleh hakim Mahkamah Tinggi semalam.

Hakim Datuk Supang Lian mengarahkan hukuman penjara terhadapMuklisin, 45, berjalan serentak pada tarikh ditangkap pada 11 Oktober 2018.

Muklisin mengaku bersalah mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan
Migran 2007.

Tertuduh didapati telah menyeludup enam pendatang asing berusia antara 20 hingga 49 tahun pada 10 November 2018 di pintu keluar Kompleks Kuarantin Imigresen dan Kastam (ICQS) di Tebedu Serian.

Menurut fakta kes, pada 10 November 2018, tertuduh tiba di sebuah perhentian bas di Tebedu sekitar jam 7 pagi dengan sebuah van jenis Ford bernombor pendaftaran QSB 5806 untuk menunggu barangan dan penumpang.

Ketika penumpang sampai,mereka diarah duduk di bahagian belakang van kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Mereka dikenakan bayaran sebanyak RM10 seorang manakala bayaran tambahan untuk barang sebanyak RM50.

Barangan seperti beg dan kotak diletakkan di bahagian depan van, manakala penumpang diarah duduh di belakang van bagi mengelak dilihat pegawai penguat kuasa.

Pada jam 8.25 pagi setelah melalui kastam, tertuduh ditahan tiga pegawai imigresen diketuai TPPI Kiung Kiu Ming dengan bantuan PI Darius Kuno dan Mohd Alkiff Khalid.

Setelah membuat pemeriksaan terhadap van berkenaan, mereka menemui enam pendatang asing di bahagian belakang van.

Kesemuanya mengaku pendatang asing tanpa izin mengaku membayar pemandu membawa mereka pulang ke
negara asal dari Tebedu.

Kesemua ditahan di kem imigresen Semuja, Serian dan van dirampas sebagai bukti dan disimpan di Pejabat
Imigresen di Pending.

Setelah itu keenam-enam pendatang asing berkenaan mengaku bersalah mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana ditangkap tanpa dokumen perjalanan sah dan dikenakan empat bulan penjara dan satu
sebatan setiap seorang bermula pada 11 Oktober 2018.

Dalam rayuan dibaca peguam bela Francis Teron Kadap, tertuduh menyesali perbuatannya dan minta hukuaman lebih ringan kerana pernah ditahan di penjara lebih setahun dan mempunyai isteri tidak bekerja di samping
menyara empat anak yang masih kecil.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Imigresen Wan Imaan Ikhwan dan Nurul Asyikin Rosli.