MIRI: Tiga individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri di sini pada Isnin lalu atas dua pertuduhan iaitu mengedar dadah jenis Methamphetamine dan ketamin, bulan lepas.

Ketiga-tiga tertuduh adalah lelaki berusia dalam lingkungan 32 hingga 47 tahun.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1,261.2 gram di Jalan Luak Bay di sini pada kira-kira jam 7.40 pagi pada 29 Oktober lalu.

Manakala pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mengedar dadah jenis ketamin seberat 3,100 gram di lokasi dan masa yang sama.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Semakan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali jika disabitkan kesalahan untuk setiap pertuduhan.

Pertuduhan dibacakan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Md Syafique Md Hilmie. Mahkamah kemudiannya mengarahkan kesemua tertuduh tidak diikat jamin dan menetapkan 12 November depan untuk sebutan semula kes bagi semakan laporan kimia.

Terdahulu, pihak polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di sini apabila tiga lelaki yang disyaki terlibat berjaya ditangkap dalam satu serbuan bulan lepas.