KUCHING: Rakyat Sarawak direkodkan berbelanja kira-kira RM19.42 juta melalui media sosial tahun lalu.

Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, antara platform yang menjadi pilihan rakyat Sarawak untuk berbelanja ialah Zalora, Lelong.com dan Qoo10.

“Antara barangan paling banyak dibeli dalam media sosial ialah pakaian wanita. Maka, saya menjangkakan jumlah ini semakin bertambah sekiranya kami dapat mengumpul data daripada pasaran dan platform media sosial yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmian Forum E-Dagang Sarawak Edisi Kedua sebuah hotel di sini, semalam.

Menurut Naroden lagi, perolehan menerusi pelbagai produk e-Dagang di Malaysia direkodkan ASD1.3 bilion pada tahun lalu dan dijangka meningkat kepada ASD 2.53 bilion menjelang 2022.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri memperuntukan dana berjumlah RM1 bilion untuk pembinaan menara telekomunikasi agar liputan internet diperluaskan.

“Dengan itu, lebih ramai rakyat terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman terlibat dalam aktiviti e-dagang meskipun mempunyai produk terhad serta akses kepada infrastrukutur termasuk sokongan logistik,” tegasnya lagi.

Tambahnya, kini terdapat model baharu dalam perniagaan iaitu dropshipping apabila urusan jual beli dapat diteruskan meskipun infrastruktur tempatan dan sokongan logistik terhad.

“Sebagai contoh, dropshipping di Malaysia boleh mempromosikan produk berasal dari China untuk pasaran Eropah.

“Apabila pelanggan di Eropah membeli produk terbabit, kerjakerja pembungkusan dan penghantaran dilakukan oleh syarikat asalnya dari China,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, generasi muda harus merebut peluang dalam perniagaan e-Dagang secara kreatif dan inovatif untuk memuaskan para pelanggan masing-masing dari segi kepelbagaian produk dan harga.