SARIKEI: Sumbangan dana berterusan membuktikan kesungguhan Kerajaan Sarawak meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan generasi muda khususnya di DUN Repok.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, aspek itu amat penting bagi memastikan generasi menimba ilmu dalam suasana selamat dan selesa.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan langkah tersebut terus diperhebatkan dari semasa ke semasa.

“Pendidikan merupakan aspek penting kepada manusia. Justeru, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan prasarana pendidikan terbaik kepada generasi muda.

“Saya memandang serius aspek ini kerana sedar pendidikan satu-satunya jalan terbaik untuk keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya pada Majlis Graduasi SMK Tinggi Sarikei, hari ini.

Huang menyampaikan sijil kepada pelajar dalam majlis graduasi SMK Tinggi Sarikei.

Huang memberitahu, di bawah Projek RTP kawasan Repok, SMK Tinggi Sarikei menerima peruntukan sebanyak RM 120,000 pada tahun 2016 dan RM100,000 tahun 2019.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan ibu bapa supaya tidak membelakangkan PIBG, sebaliknya menggunakan persatuan sebagai saluran untuk membangunkan anak-anak dalam bidang akademik dam kokurikulum.

Menurutnya, PIBG merupakan platform terbaik bagi ibu bapa dan guru untuk bekerjasama dalam merancang aktiviti dan menyelesaikan sebarang masalah.

“Kita harus sedar tanggungjawab melonjakkan prestasi murid dan sekolah bukan hanya tergalas pada bahu guru semata-mata, sebaliknya ibu bapa juga memainkan peranan amat penting.

“Saya juga ingin mengingatkan setiap pelajar bahawa, kunci utama untuk berjaya adalah keyakinan individu itu sendiri dan tidak pernah berhenti berusaha mencapai matlamat tersebut.

“Sehubungan itu, saya ingin berterima kasih kepada Ketua Menteri, Abang Johari Tun Openg kerana meluluskan banyak projek berimpak besar yang amat diperlukan oleh rakyat di kawasan ini,” katanya.

Huang menyempurnakan upacara pelancaran buku SMK Tinggi terbitan mantan pengetua, Wong Ming.