KUCHING: Peruntukan tinggi Belanjawan 2020 kepada Sarawak perlu dijadikan motivasi untuk membangunkan negeri dengan sebaiknya, selaras agenda pembangunan yang telah digariskan kerajaan.

Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Almain Ajirul berkata peruntukan sebanyak RM4.4 bilion membuktikan Kerajaan Persekutuan komited dalam agenda pembangunan negeri Bumi Kenyalang ini dalam merangsang landskap sosioekonomi ke tahap yang lebih tinggi.

“Menerusi perkongsian ‘kek ekonomi’ ini ia dapat menjadi pemangkin dalam menjayakan aspirasi pembangunan di Sarawak secara holistik khususnya pembangunan di luar bandar,” katanya pada ucapan perasmian majlis taklimat khas Belanjawan 2020 dan isu semasa peringkat negeri, di Auditorium P. Ramlee, RTM Kuching, hari ini.

Pada sesi taklimat itu, Almain berharap semua komunikator utama yang hadir dapat memainkan peranan sebagai ‘duta kecil’ dalam menyebarkan maklumat kepada akar umbi dan memastikan setiap mesej dapat disampaikan kepada rakyat.

Antara agensi yang terlibat pada sesi taklimat itu ialah RTM, Jabatan Penerangan, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).  – Bernama