KUCHING: Persembahan muzik tradisional angklung oleh Kumpulan Buluh Berkocak di Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage (Okshe) 2019 berjaya menarik perhatian ramai.

Meskipun hujan, namun pebngunjung temasya termasuk pelancong asing tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing, bagi menyaksikan persembahan istimewa oleh sembilan ahli kumpulan itu.

Persembahan angklung itu berlangsung di Padang Merdeka, di sini, malam semalam.

Ia dianjurkan bersama Persatuan Kesenian dan Warisan Kuching (Kewarisa) dengan kerjasama Okshe dan Kampung Budaya Sarawak (KBS).

Selain Kumpulan Buluh Berkocak, Kumpulan Tuku Kamek turut mengadakan persembahan hebat dengan menampilkan alunan sape.

Pengurus Besar KBS, Jane Lian Labang berkata, angklung adalah salah satu alat muzik tradisional yang harus ditonjol terutama kepada generasi muda sekarang.

Katanya, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan seni warisan muzik angklung tidak pupus ditelan zaman. Beliau bangga dengan usaha dan inisiatif Kewarisma menganjurkan temasya itu bagi mengekalkan kesenian serta memartabatkan warisan budaya.

“Kumpulan Buluh Berkocak adalah generasi kedua KBS selepas Kumpulan Tuku Kamek,” katanya.

Sementara itu Jane berkata, Kumpulan Tuku Kamek berjaya menghidupkan industri muzik Sarawak dengan memperkenalkan keunikan alunan sape bukan sahaja di dalam negara malah ke persada antarabangsa. Dengan keunikan alunan sape itu katanya,

Kumpulan Tuku Kamek meraih kejayaan pada Kejohanan Persembahan Kesenian Sedunia di Los Angeles (World Championship of Performing Arts) pada 2009.