MIRI: Pada usia 15 tahun, sepatutnya seorang remaja duduk di bangku sekolah tetapi sebaliknya menyelongkar kubur di Tanah Perkuburan Katolik di Riam di sini, pagi semalam. Suspek dipercayai antara individu yang menjadi dalang dalam kes pencerobohan kubur yang dilaporkan baru-baru ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam, suspek dijumpai dan ditangkap orang awam kebetulan datang melawat kubur saudara mereka.

Semasa kejadian, suspek dilaporkan tidak bersendirian dan dipercayai terdapat lima lagi individu lain sempat melarikan diri. Suspek kemudiannya ditangkap dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah setakat semalam, pihaknya masih lagi memburu suspek selebihnya berhubung kes berkenaan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh di tempat perkuburan. Terdahulu, pihak polis menerima aduan dari orang awam berkenaan kes pencerobohan kubur yang dirosakkan dan dipecahkan di tempat kejadian.

Susulan laporan diterima, pihak polis dikerahkan untuk membuat siasatan lanjut di lokasi kejadian. Hasil siasatan menemukan 20 kubur dalam keadaan pecah dipercayai diselongkar individu tidak bertanggunggjawab.