BINTULU: Persatuan Tuai Rumah Kawasan Samalaju akan menghantar resolusi bantahan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Persatuan (MPKKP) kepada Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dalam masa terdekat.

Perkara ini dinyatakan Penghulu Man Imbak mewakili persatuan berkenaan dalam bantahan aman di Rumah Galin Anak Andam, Jalan Bintulu-Miri, semalam.

Beliau berkata persatuan itu  berpendirian tegas menolak MPKKP yang dipercayai membawa impak negatif terhadap perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini  khususnya penduduk rumah panjang. 

Penolakan terhadap MPKKP, katanya, berikutan ia akan menyebabkan pertindihan pengurusan, peranan dan fungsi antara Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sedia ada. 

Malah, beliau percaya, Pakatan Harapan mempunyai agenda tersembunyi di sebalik penubuhan MPKKP  sambil menyatakan salah satunya adalah untuk cuba menguasai pentadbiran negeri ini secara perlahan-lahan. 

Justeru, tegas Man, mewakili pemimpin tempatan  di kawasan Samalaju , persatuan terbabit menolak serta membantah sekeras-kerasnya penubuhan majlis berkenaan.