MUKAH: Penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan (Pakatan Harapan) terus mendapat tentangan keras dari pemimpin masyarakat di Sarawak.

Seramai lebih 120 ketua kaum dan ketua masyarakat dari Bahagian Mukah yang diketuai Temenggong Hendi Suhai telah mengadakan perjumpaan bagi menyatakan hasrat sebulat suara menolak penubuhan MPKK berkenaan.

Mereka menyifatkan kewujudan MPKK tersebut berupaya mencetuskan unsur perpecahan dalam kalangan masyarakat di kawasan kampung, rumah panjang dan kawasan taman perumahan di bandar.

Hendi menegaskan lagi pihaknya sekeras-kerasnya membantah penubuhan MPKK tersebut yang mampu mencetuskan unsur ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat kerana ia jelas mewujudkan kekalutan kerana memperlihatkan dua nakhoda cuba untuk mengawal sebuah kapal.

“Bagi kita MPKK ini dapat mewujudkan unsur ketidakakraban dalam kalangan masyarakat untuk tempoh masa panjang.

“Kita melihat Jawatankuasa Keselamatan & Kemajuan Kampung (JKKK) yang sedia ada kini telah diperakui mantap pengurusannya kerana keharmonian, keakraban, kerjasama dan perpaduan yang terhasil dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak, berada di tahap yang cemerlang dan amat membanggakan,” katanya dalam perjumpaan di Hotel Kingwood pagi tadi.

Beliau percaya Pengerusi JKKK ataupun Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang ada kini, telah dilantik secara berhemah dan disahkan oleh Kerajaan Sarawak dengan sebaiknya.

“Perlantikan mereka (KMKK) adalah di bawah Ordinan dan Peraturan Kerajaan Sarawak, dan sebagai tambahan perlantikan ini berdasarkan sahsiah mereka yang tinggi dan berlatarbelakangkan pendidikan yang setaraf dengan keadaan semasa yang dapat menggalaskan tugas dengan tekun, amanah dan adil,” jelasnya.

Hendi menyeru kepada semua ketua masyarakat agar terus mempertahankan Sarawak dari anasir yang boleh memecah-belahkan dan memudaratkan keharmonian Sarawak.

“Maka dengan itu sebagai ketua kampung, ketua kaum, temenggong dan penghulu di kawasan masing-masing, perlu mengubah cara kerja untuk bekerja lebih bijak, efektif dan efisien kepada masyarakat kerana kini telah wujud saingan dari pihak lain,” tegasnya.