DARO: Sama ada sudah berumah tangga atau sebaliknya, setiap individu perlu dibekalkan dengan ilmu, khususnya dalam menangani cabaran alam perkahwinan.

Sikap tidak faham konsep institusi kekeluargaan menjadi satu daripada faktor wujudnya perceraian selain keganasan rumah tangga.

Justeru, ilmu rumah tangga sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin amat mustahak kerana dapat menjadi perisai sekaligus memastikan perkahwinan kekal bahagia selamanya.

Sehubungan itu, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) mengambil inisiatif untuk menjadi platform dalam menyalurkan pelbagai ilmu bermanfaat melalui penganjuran Program Till Jannah, Smart Marriage.

ADUN N. 43 Daro, Safiee Ahmad berkata, program itu merupakan salah satu usaha murni kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang mampu bertahan dalam menangani cabaran globalisasi pada hari ini.

Safiee hadir untuk merasmikan program Till Jannah, Smart Marriage.

Program seumpama itu katanya, adalah medium terbaik kepada masyarakat untuk mendalami ilmu rumah tangga dan mengetahui tanggungjawab sebagai suami isteri serta ibu bapa pada masa depan.

“Setiap pasangan yang berkahwin, pasti mengharapkan rumah tangga yang dibina kekal rukun dan damai. Untuk itu, kita harus bersikap terbuka dan menerima segala perubahan, kelebihan dan kekurangan pasangan masing-masing.

“Persefahaman dan sikap toleransi antara suami isteri amat penting dalam memastikan kebahagiaan di dalam sesebuah rumahtangga terjamin.

Namun di sebalik semua itu, jangan abaikan ilmu yang menjadi teras penting penyatuan dua hati ini,” katanya pada Majlis Perasmian Program Till Janah, Smart Marriage di Dewan Masyarakat Daro, semalam.

Safiee berkata, individu cemerlang lahir daripada kemantapan institusi keluarga yang berperanan sebagai taman asuhan pertama dalam pembinaan sahsiah manusia.

Katanya, keluarga boleh diibaratkan sebagai payung yang mampu memberikan perlindungan, keselamatan, bimbingan dan kasih sayang ke arah pembentukan individu yang unggul dan terbilang.

 

Antara peserta yang mengambil bahagian.

“Setiap ahli keluarga layak untuk mendapat kasih sayang tidak kiralah bagaimana rupa fizikal, usia dan pendidikan mereka.

Tahukah anda, kasih sayang keluarga memberi impak sangat positif selain mampu melahirkan insan berkualiti dan berperibadi mulia yang seterusnya menjadi pemangkin pembangunan keluarga bahagia dan negara yang sejahtera?

“Malah daripada keluarga jugalah lahirnya pewaris kepimpinan negara dan menjadi penyambung nilai, budaya sesuatu bangsa dan ketamadunan manusia pada masa depan,” tambahnya.

Till Jannah, Smart Marriage yang diadakan bermula 2017 memberi impak positif apabila sebanyak 98% peserta bersetuju, program itu membantu menambahbaik perkahwinan mereka.

Sehubungan itu, sebanyak tujuh program dilaksanakan pada tahun ini masing-masing di Bintulu, Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Matu- Daro dan Lawas.

Bagi peringkat daerah Daro pula, program disertai seramai 268 orang peserta.