KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk terus berlaku adil kepada semua bangsa dan agama dalam mengekalkan keamanan dan memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari berkata beliau mengguna pakai pendekatan berteraskan Piagam Madinah dengan mengambil contoh pentadbiran Nabi Muhammad SAW yang antara lain membenarkan orang bukan Islam dapat mengamalkan agama mereka secara bebas di bawah pentadbiran baginda di Madinah.

“Ini pendekatan saya, kerana Rasulullah SAW apabila mentadbir masyarakat pelbagai kaum berlainan agama, ia menjadi tanggungjawab baginda untuk mentadbir semua golongan di bawah pentadbirannya sama ada Islam atau bukan Islam.

“Itu menjadi model kita di Sarawak untuk mentadbir masyarakat berbilang kaum dan agama, kita menggunakan konsep coexistence (kewujudan bersama) di mana kita bersama-sama, hidup dalam keadaan yang baik dan terus hidup dengan sempurna, maka kalau konsep ini jadi konsep negeri kita, sudah tentu kita akan jadi maju seperti mana orang lain maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyertai sesi dialog bersama kakitangan agensi-agensi Majlis Islam Sarawak di sini, semalam.

Selain itu, Abang Johari berkata kerajaan berpandangan penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) perlu bagi mentadbir urus hal ehwal komuniti lain sepertimana hal ehwal Islam ditadbir urus dengan cemerlang oleh agensi-agensi Majlis Islam negeri.

“Yang penting kita bekerjasama dengan orang bukan Islam, kerana apa saya takut ialah (orang persoal) kenapa kita ada Unifor, kita mesti adil, mereka, mereka, kita, kita, yang penting negeri kita aman, jadi orang dapat mencari rezeki, kerjanya boleh, kalau huru hara macam mana nak cari rezeki?,” katanya. – Bernama