KUALA LUMPUR: AirAsia telah mengumumkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Okinawa Naha, menawarkan tambang untuk anggota sahaja iaitu RM239 bagi perjalanan sehala dengan tempat duduk standard dan RM899 perjalanan sehala untuk kelas ‘Premium Flatbeds’ yang pernah mendapat pengiktirafan.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan berkata laluan tersebut akan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan Malaysia dengan sambungan dan keupayaan yang paling banyak di Jepun.

Perkhidmatan mingguan sebanyak empat kali melalui Taipei yang dimulakan pada 22 Jan 2020 (tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan), akan menjadi destinasi antarabangsa keenam AirAsia di Jepun, selepas Tokyo (Haneda dan Narita), Osaka, Sapporo, Fukuoka dan Nagoya (melalui Bangkok),” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata pengembangan syarikat penerbangan itu di Jepun berterusan berikutan pelancaran perkhidmatannya ke Fukuoka dan Tokyo Narita pada awal tahun ini.

“Okinawa merupakan kepulauan syurga yang menawarkan pengalaman Jepun yang berbeza untuk pelancong seperti pantai berpasir putih dengan air biru yang jernih, menawarkan tempat menyelam yang paling terkenal di dunia termasuk ciri-ciri masakan Ryukyuan yang unik.

“Seperti Fukuoka, kami sedang membina tapak bagi mengadakan lebih banyak penerbangan AirAsia ke Okinawa dalam masa terdekat, disamping mengukuhkan rangkaian serantau kami untuk membolehkan lebih ramai pelancong meneroka keunikan warisan budaya di destinasi berkenaan,” tambahnya.

Menurut AirAsia, tiket untuk tambang promosi boleh didapati melalui airasia.com mulai hari ini sehingga 2 Nov 2019 membabitkan perjalanan antara 22 Jan 2020 dan 27 Mac 2020.

“Penumpang dari Kuala Lumpur ke Okinawa Naha tidak perlu untuk mendapatkan visa semasa dalam tempoh satu jam dan lima belas minit persinggahan di Taipei dan boleh kembali ke tempat duduk mereka selepas melepasi pemeriksaan keselamatan ke atas bagasi tangan dan barangan ringan,” tambahnya lagi. – Bernama