KUCHING: Lepasan Centexs yang bekerja di luar negara mampu menikmati gaji minimum ASD2,500 sebulan atau RM10,465. Ketua Pegawai Eksekutif Centexs Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman berkata, anak-anak Sarawak yang menjalani latihan kemahiran di institusi berkenaan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan luar negara dengan tawaran bayaran gaji yang lumayan.

“Setakat ini, ramai pelajar kita mendapat permintaan dari negara seperti Singapura dan Filipina.

“Di Filipina misalnya, negara itu kini menuju ke arah ekonomi digital, secara tidak langsung mereka memerlukan ramai graduan yang berkemahiran tinggi.

“Bagusnya kerana pelajar kita diberi keutamaan dalam pasaran pekerja mahir ini,” ujarnya kepada Suara Sarawak, semalam.

Syeed Mohd menambah, peluang luas tersebut memberi memberi kelebihan kepada semua graduan Centexs disebabkan mereka menawarkan sijil bertaraf antarabangsa yang menjadikan mereka rebutan banyak syarikat.

“Sekarang, kita masih berusaha mendapatkan sijil Electical Inspectorrate Unit (EIU) dan juga sijil mengikut standard United Kingdom supaya pelajar dalam bidang elektrik dapat bekerja luar dan dalam negara.

“Kita amat menggalakkan dan memberi peluang pelajar kita menimba pengalaman bekerja di luar negara,” jelasnya.

Ujarnya, Centexs mengeluarkan hampir 3,000 graduan sejak 2014 dan 90 peratus daripadanya mendapat pekerjaan dan selebihnya menjadi usahawan sendiri.

“Setiap tahun, kita akan mengambil 1,000 orang pelajar dari seluruh Sarawak untuk ketiga-tiga bidang utama di Centexs iaitu teknikal, warisan dan digital,” tegasnya.

Oleh itu, beliau menggesa anak-anak Sarawak yang berminat dalam bidang kemahiran agar tidak melepaskan peluang mendapatkan latihan di Centexs untuk menghadapi pasaran pekerjaan.