KUCHING: Lirik Terbaik salah satu daripada enam kategori yang dipertandingkan pada Anugerah Carta Sapa Juara ke-6 (ACSJ ke-6) pada 2 November nanti.

ACSJ adalah sebuah pertandingan untuk memartabatkan keaslian bahasa Iban, bahasa klasik Iban, susunan lagu dan cerita dalam lagu muzik Iban.

Pengarah Penyiaran Sarawak Zainal Abidin Asri Abdul Wahib berkata, seramai 200 pemuzik dan pengarang lagu dijemput datang ke ACSJ yang akan berlangsung di Miri.

“Memartabatkan industri muzik Iban supaya pengubah lirik dan lagu terus mengekalkan keaslian bahasa Iban klasik yang kian pupus, adalah antara objektif penganjuran kali ini.

“Oleh itu, kategori Lirik Terbaik antara kategori yang dititik-beratkan dalam pertandingan yang menentukan kualiti dan genre lagu menggunakan bahasa yang betul,” ujarnya semasa sidang media di sini, baru-baru ini.

Zainal menambah, perancangan untuk menyiarkan slot ACSJ di kaca televisyen akan dipertimbangkan bagaimanapun ia bergantung kepada sambutan awam.

“ACSJ ini nanti akan disiarkan menerusi radio WAIfm Iban serta melalui Facebook rasmi WAIfm Iban. “Sekiranya, sambutan memberansangkan dari orang awam, RTM mungkin akan menyiarkan program seperti ini di televisyen, namun tertakluk kepada terma tertentu kerana program seperti ini memerlukan kos yang besar,” jelasnya.

Sementara itu, dianggarkan lebih 3,000 orang awam akan menyaksikan malam anugerah berkenaan. “Eastwood Valley Country Club & Golf, Miri dipilih menjadi lokasi anugerah ini berlangsung dan 3,000 pengunjung akan datang.

“Malam anugerah bermula jam 8 malam, namun sejak jam 3 petang banyak aktiviti dan program sampingan dianjurkan,” katanya.

ACSJ ke-6 menyaksikan lapan orang penyanyi solo dan tiga penyanyi berkumpulan merebut gelaran juara, tempat kedua, empat ketiga, Vokal Terbaik, Lirik Terbaik serta Finalis dan Lagu Pilihan.

Juara bakal membawa pulang RM10,000, tempat kedua RM8,000, tempat ketiga RM5,000, Vokal Terbaik RM2,000 manakala Lirik Terbaik serta Finalis dan Lagu Pilihan akan membawa pulang trofi.