MIRI: Persepsi umum bahawa hanya orang gila berjumpa kaunselor atau psikiatri perlu diubah untuk mengelakkan kes-kes tidak diingini berlaku.

Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon berkata, sesi kaunseling adalah proses bantuan profesional bagi membolehkan orang yang mempunyai masalah mental memahami diri dan persekitaran mereka.

“Di Malaysia, kita masih kekurangan kaunselor dalam komuniti, namun ia mencukupi untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling jika ada yang memerlukannya. “Bagaimanapun, tanggapan atau penerimaan masyarakat terhadap isu ini telah menyebabkan mereka menolak untuk mendapatkan bantuan profesional sehingga ia menjadi terlambat dan kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Lelaki dan Kesihatan Mental: Pembunuh Dalam Senyap bersempena Bulan Kaunseling 2019 di Pustaka Miri di sini, semalam.

Oleh itu, tambah beliau, tema bagi sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2019 iaitu ‘Membawa Perkhidmatan Kaunseling Kepada Komuniti amat bersesuaian di samping melengkapkan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober setiap tahun.

Dalam pada itu, Tiong Choon turut memberitahu, Hari Kesihatan Mental Sedunia menyediakan peluang kepada pihak berkepentingan dalam isu kesihatan mental berkongsi hasil kerja dan langkah yang wajar diambil dalam mengatasi masalah mental.

“Di Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Kaunseling Kebangsaan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia. “Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental,” jelas beliau.

Selain itu, tambahnya lagi, kepentingan peranan kaunselor dan perkhidmatan kaunseling untuk menguruskan isu kesihatan mental juga perlu disampaikan kepada masyarakat.

“Saya harap forum ini dapat memberikan nilai dan maklumat berguna kepada semua yang hadir hari ini (semalam) terutamanya mereka yang menghadapi tekanan atau masalah kesihatan mental.

“Saya juga berharap pada masa akan datang, kita dapat membincangkan isu kesihatan mental ini dengan lebih terbuka seperti kita bercakap tentang penyakit diabetes, darah tinggi dan masalah jantung,” ujarnya lagi.

Turut hadir Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dennis Chai Cheng Ho dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong.