SARIKEI: Usahawan digesa untuk terus memanfaatkan dan merebut peluang dalam pasaran halal bagi meningkatkan ekonomi tempatan.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, usaha proaktif
Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak( SEDC ) menganjurkan Seminar Juh! Halal 2019 merupakan satu langkah permulaan yang amat penting ke arah meningkatkan potensi industri halal.

Menurutnya, amalan proses pengauditan ketat sijil Halal di negara ini mendapat kepercayaan negara luar khususnya dari Timur Tengah dan Asia Tenggara.

“Peluang industri halal bukan kepada masyarakat Islam semata-mata tetapi juga merentasi orang bukan muslim,” katanya pada majlis perasmian Roadshow Usahawan dan Seminar Juh! Halal 2019 di sini, semalam.

Beliau berkata, pengguna juga semakin peka dengan kualiti produk dan perkhidmatan yang mempunyai standard halal.

Katanya, penerimaan pengguna bukan Islam terhadap produk dan perkhidmatan halal juga meningkat, malah ada kajian mendapati pengguna bukan Islam mempunyai tanggapan yang lebih positif terhadap produk halal khususnya dari segi jaminan kebersihan.

“Dengan jumlah penduduk dunia yang dianggarkan melebihi enam bilion dan penduduk Islam kira-kira 1.7 bilion, potensi industri halal dan peluang keusahawanan dalam bidang ini sememangnya amat luas,” jelasnya.

Beliau produk dan perkhidmatan halal bukan sahaja menjadi satu permintaan atau keperluan bagi pengguna beragama Islam semata- mata.

Menurutnya, majoriti produk dan perkhidmatan halal turut diterima oleh negara-negara yang bukan Islam seperti Brazil, Jepun, Thailand, Korea Selatan, Australia dan China.

“Malah, negara-negara di rantau ASEAN (ASEAN Economic Council-AEC) sedang dalam perbincangan untuk menyeragamkan pensijilan halal yang sedia ada.

” Penyeragaman ini dapat menempatkan industri ini ke tahap premier; sekali gus membangunkan negara-negara ASEAN untuk turut menjadi pemain industri halal setanding dengan negara yang menerajui industri halal tertentu seperti daging lembu dari Australia, daging kambing dari New Zealand dan sebagainya,” tambahnya.