SUAI: Bantahan terhadap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) semakin memuncak apabila 45 pemimpin masyarakat tempatan sebulat suara tidak bersetuju dan menolak cadangan penubuhan majlis berkenaan.
Bantahan disuarakan dalam mesyuarat khas Persatuan Tuai Rumah Kawasan Suai yang diadakan di salah sebuah restoran terkenal di Batu Niah, petang tadi.
Pengerusinya, Boniface Bada berkata, persatuan itu berpendirian tegas menolak MPKK yang dipercayai membawa impak negatif terhadap perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini khususnya penduduk rumah panjang.
Penolakan terhadap MPKK, katanya, berikutan ia akan menyebabkan pertindihan pengurusan, peranan dan fungsi antara Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sedia ada.
Ibarat dua kapal dan dua kapten mengendalikan satu kapal. Situasi ini pasti akan menyebabkan ketidaksefahaman hingga boleh mengakibatkan kapal itu karam,ujarnya.
Lagipun, penduduk rumah panjang di kawasan Suai tidak memerlukan MPKK, tambahan, JKKK sedia ada masih relevan dan mampu menguruskan kampung mahupun rumah panjang,masing- masing, katanya lagi.

Selain itu, tambah Boniface lagi, pelantikan ketua masyarakat dan ketua kaum di negeri ini melalui prosedur yang sah serta dipantau Pejabat Daerah.
Beliau percaya, Pakatan Harapan mempunyai agenda tersembunyi di sebalik penubuhan MPKK sambil menyatakan salah satunya adalah untuk memecahbelahkan rakyat di kawasan luar bandar terutama penduduk rumah panjang dan kampung.
Sekiranya mereka(PH) ikhlas dan prihatin dengan kebajikan masyarakat luar bandar, mereka boleh menyalurkan bantuan atau peruntukan kepada JKKK sedia ada seperti mana dilakukan oleh kerajaan terdahulu,” jelas Boniface lagi.
Justeru, tegasnya, mewakili pemimpin tempatan di kawasan Suai, persatuan terbabit menolak serta membantah sekeras-kerasnya penubuhan majlis berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menasihati penduduk di kawasan Suai agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis pihak terlibat, yang pada akhirnya akan merugikan mereka kelak.