SIBU: Seramai enam qari dan qariah muda daerah Sibu menghadiri kursus pemantapan kemahiran bertarannum dan teknik bacaan tilawah al-Quran melalui bimbingan tiga bekas johan tilawah Al-Quran antarabangsa, di Kota Bharu,Kelantan baru-baru ini.
Rombongan diketuai guru al-Quran dan bekas Pengerusi Persatuan Qurra’ bahagian Sibu, Nasir Musel.
Sehubungan itu Nasir berkata, mereka bertuah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar Datuk Faridah Mat Saman (johan qariah antarabangsa tujuh kali), Abdul Rahim Ahmad (johan qari antarabangsa dua kali) dan Che Yahaya Daud.
“Sepanjang kursus kami sangat teruja kerana julung kali diberi peluang memantapkan kemahiran bertarannum di samping memperbaiki teknik bacaan al-Quran dengan mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada mereka yang hebat.
“Malah, pengalaman ini adalah sesuatu yang amat berharga dan jarang diperoleh,” katanya.

Beliau berkata, kursus bermatlamat memantapkan kemahiran bertarannum dan mutu bacaan al-Quran.
Katanya, sesi latihan intensif diteruskan sehingga menjelang majlis tilawah peringkat bahagian itu nanti bagi memastikan mereka bersedia dan memberi persembahan berkualiti tinggi.
“Para qari dan qariah juga terus diberi bimbingan dan tunjuk ajar bukan sekadar untuk majlis tilawah malah sebagai usaha menambah bilangan pelapis guru al-Quran di daerah Sibu,” katanya.
Menurutnya, bilangan guru tersebut perlu ditambah bagi membantu mengatasi masalah buta al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di daerah ini.
