SIBU: Kira-kira 130 bekas pelajar SMK Matu/Daro untuk kumpulan perintis bagi tahun 1972-77 berhimpun buat kali pertama di sebuah hotel di sini malam tadi.

Pelbagai acara menarik diadakan termasuk persembahan video yang memaparkan gambar individu pelajar dulu dan sekarang, termasuk gambar bersama keluarga, karaoke, deklamasi sajak dan tarian poco-poco selain cabutan tiket bertuah.

Suasana agak meriah kerana kebanyakan mereka tidak bertemu lebih 40 tahun setelah menamatkan pengajian tingkatan tiga di sekolah itu yang kini dikenali sebagai SMK Matu. Kebanyakan bekas pelajar itu, yang sesetengahnya sudah bersara bekerja di merata tempat meskipun berasal dari kampung sekitar daerah Matu dan Daro.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang juga bekas pelajar kumpulan sama adalah Penaung Majlis Malem Pedun Anyin SMK Matu/Daro 72-79 iaitu dalam bahasa Melanau yang bermaksud ‘Malam Berkumpul Kumpulan SMK Matu/Daro 72-79’.

Ahmad Johnie (tgh) bersama bekas pelajar SMK Matu-Daro pada majlis di Hotel RH, Sibu malam tadi

Semua hadiah untuk cabutan bertuah adalah sumbangan bekas pelajar itu sendiri selain sumbangan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab; Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Semop, Abdullah Saidol dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie.

Ahmad Johnie dalam ucapannya antara lain mencadangkan supaya majlis itu diadakan sekurang-kurangnya dua tahun sekali dan Kuching menjadi tuan rumah untuk pertemuan tahun 2021.

Katanya, majlis itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan sesama bekas pelajar dan keluarga mereka, untuk saling mengenali setelah lebih 40 tahun terpisah.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ahli jawatankuasa pengelola majlis ini kerana bekerja keras mencari dan mengumpul bekas-bekas pelajar ini hingga berjaya menghimpunkan sebahagian besar kumpulan 1972-77 untuk hadir pada majlis ini,” katanya.

Pada majlis itu, kutipan kilat diadakan untuk membantu kos pembedahan bayi berusia sebulan yang mengidap usus bocor sejak lahir, kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor, sejak 3 Oktober lalu.

Anak kepada Ahmad Nazren Morni yang berasal dari Daro dan isterinya, Rostina Bahrin itu memerlukan bantuan kewangan untuk pembedahan buat kali kedua bayi mereka dijangka dilakukan pada bulan depan.

Kutipan kilat berjaya memperoleh RM1,610.