KUCHING: Sejumlah 1,250 karton rokok kretek pelbagai jenama dengan anggaran RM367,500 dirampas dalam operasi Op Libas selepas serbuan di sebuah rumah di Kampung Beratok, Padawan di sini.

Serbuan kira-kira pukul 1.50 petang semalam dibuat hasil risikan anggota Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) selama dua minggu.

Pegawai Memerintah Batalion 11 PGA Kuching, Supt Rosdi Inai berkata seorang lelaki berusia 31 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berhubung penemuan barangan berkenaan di rumah berkenaan dan dalam sebuah van yang diparkir berdekatan.

“Barangan terbabit dipercayai diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan di pasaran tempatan,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Rosdi berkata, lelaki berkenaan yang turut ditahan serta barangan rampasan diserahkan ke ibu pejabat Polis Daerah Padawan untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman denda 20 kali nilai barang atau dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.