KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Rang Undang-undang Warisan Sarawak 2019, yang disasarkan khusus bagi menjaga aset warisannya dengan lebih baik.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semasa mengusulkan rang undang-undang itu berkata sudah tiba masanya Sarawak mempunyai undang-undang yang lebih baik dan menyeluruh bagi melindungi, memelihara, memulihara dan menguruskan aset warisannya dengan lebih efisien.

“Di bawah rang undang-undang ini, ada empat bahagian baharu diperkenalkan, yang terdiri daripada aspek pentadbiran, tugas-tugas dan tanggungjawab pengarah, warisan di dalam air dan juga penguatkuasaan,” katanya, semalam.

Beliau berkata pengurusan serta pemeliharaan warisan diperincikan dengan lebih jelas menerusi rang undang-undang ini.

“Jabatan Muzium Sarawak akan dapat membuat pertimbangan yang lebih wajar berhubung cara bagaimana menangani perkara-perkara yang berkaitan dengan pemuliharaan warisan dalam kerangka kerja ordinan baharu ini.

“Kita perlu wujudkan sistem pengurusan warisan yang terkini dan baik bukan sahaja bagi tujuan perlindungan tapi juga bagi mewujudkan kesedaran dan menyemai rasa sayang terhadap warisan kita. Sarawak bukan sahaja kaya dari segi alam semulajadi, tapi juga dari sudut sejarah dan budaya,” katanya. – Bernama