KUCHING: Belanjawan 2020 Sarawak yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Isnin lalu merupakan belanjawan yang seimbang, kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.

Beliau berkata mana-mana belanjawan yang lebih kepada Pembangunan berbanding Pengurusan adalah sihat kerana pembangunan melibatkan infra, sekaligus boleh meningkatkan produktiviti serta meransang ekonomi.

“Penekanan kepada usaha merapatkan jurang pembangunan Bandar dan Luar Bandar dimana RM4.141 bilion iaitu 63 peratus dari jumlah peruntukan Pembangunan adalah untuk luar bandar,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

“Semua maklum bahawa kawasan luar bandar di Sarawak masih ketinggalan dari segi pembangunan asas seperti bekalan elektrik, jalan perhubungan dan bekalan air bersih yang masih membelenggu penduduk luar bandar walaupun kita sudah dicanangkan memasuki era digital dan teknologi,” tambahnya.

Jaziri berkata walaupun berada dalam blok politik yang berlainan, Bersatu Sarawak mengambil pendekatan untuk menyokong sebarang usaha jika melibatkan kesejahteraan dan kelestarian Sarawak dan rakyatnya.

Belanjawan Pembangunan 2020 Sarawak yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri di sini Isnin lepas, menyaksikan tumpuan perbelanjaan diberikan kepada luar bandar untuk terus merangsang kemajuan ekonomi, dan daripada cadangan belanjawan negeri sebanyak RM9.891 bilion, peruntukan RM6.597 bilion dikhususkan bagi perbelanjaan pembangunan, manakala baki RM3.294 bilion untuk perbelanjaan operasi.– BERNAMA