KUCHING: Program Pemerkasaan Siswazah (CBG) wajar diwujudkan semula sebagai mekanisma untuk membantu golongan graduan menimba pengalaman, membina kerjaya sebelum mendapat pekerjaan tetap.

Safiee Ahmad (GPS- Daro) berkata, CBG mampu membantu memperkukuhkan ekonomi graduan bagi membolehkan mereka membayar semula hutang seperti PTPTN.

“Setiap tahun kira-kira 290,000 orang graduan yang menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, namun satu daripada setiap lima graduan masih tidak mempunyai pekerjaan dan majoritinya adalah pemegang ijazah pertama.

“Senario ini menyumbang kepada 55% jumlah dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan. Antara punca yang dikenalpasti ialah kurang atau tidak memiliki pengalaman bekerja,” katanya dalam sesi perbahasan Belanjawan Sarawak 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

Beliau mengulangi cadangan penubuhan Agensi Pembangunan Lembah Rajang bagi mempercepat dan menyimbangkan pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Menurutnya, pendekatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menterimempercepatkan pembangunan infrastruktur secara terancang dan tersusun melalui penubuhan tiga agensi iaitu Upper Rejang Development Agency (URDA), Highland Development Agency (HDA) dan Northern Region Development Agency (NRDA).

“Oleh itu, untuk mencapai pembangunan yang seimbang khususnya di luar bandar selaras dengan dasar kerajaan untuk menjadi negeri termaju di Malaysia pada tahun 2030, saya sekali lagi mencadangkan supaya sebuah agensi serupa ditubuhkamn bagi kawasan Lembah Rajang.

“Penduduk dan penempatan di Lembah Rejang agak padat dan ramai serta masih ada yang memerlukan kemudahan asas seperti jalanraya, elektrik, bekalan air dan beberapa infrastruktur asas yang lain.

“Justeru, dengan adanya agensi ini, pembangunan infrastruktur dengan lebih terancang dapat dilaksanakan,” ujarnya.