BINTULU: Menteri Di Jabatan Ketua Menteri(Integriti dan Ombudsman) Datuk Haji Talib Zulpilip mencabar beberapa pegawai agensi yang bertanggungjawab untuk turun padang bagi meninjau sendiri masalah sistem perparitan yang sering mengakibatkan banjir kilat di bandar Bintulu khususnya Kampung Kemunting.

Tanpa menyebut nama agensi berkenaan, beliau mahu pihak terbabit prihatin dalam mencari alternatif terbaik bagi menangani masalah tersebut demi kesejahteraan rakyat setempat.

Pada masa yang sama, beliau menasihati pihak berkenaan agar tidak berbalah dengan wakil rakyat setempat sekiranya mereka tidak berbuat demikian(turun padang).

Sebaliknya, Talib yang juga ADUN Jepak mahu pihak berkenaan lebih fokus dalam menyelesaikan masalah penduduk setempat terutama banjir kilat.

“Buatlah kerja, YB Ahli Parlimen Bintulu udah bising. Saya waktu mesyuarat udah madah, masih juak berlaku, ujarnya ketika ditemui media selepas meninjau sendiri kerja-kerja melebar dan menaiktaraf sistem perparitan Sungai Sebab di Kampung Kemunting, petang tadi.

Masalah ini perlu diselesaikan segera dan ia perlu mendapat sokongan semua pihak dalam memastikan kejadian banjir kilat dapat ditangani secara bersama,ujarnya lagi sambil menegaskan
usaha menangani banjir ini akan ditangani secara serta merta dengan bantuan semua pihak.

Beliau, dalam pada itu, mahu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di setiap kawasan di Bintulu memantau kawasan masing-masing dan melaporkannya kepada agensi berkuasa tempatan, iaitu Lembaga Kemajuan Bintulu dan Pejabat Residen dan Daerah Bintulu termasuk Pusat Khidmat Wakil-Wakil Rakyat tempatan.
sekiranya berlaku banjir termasuk banjir kilat.

Ini dilakukan untuk rakyat dan komuniti supaya kejadian banjir kilat tidak lagi berlaku dan boleh ditangani dengan pantas,”tambah Talib lagi.

Terdahulu, Talib bersama rombongan yang turut disertai Pegawai Daerah Bintulu Mohammad Dino Amid, Penghulu Haji Drahman Sisit dan Ketua Kaum Kampung Kemunting, Abu Kassim Hamzah diberikan taklimat berhubung kerja-kerja berkaitan oleh juruteknik Jabatan Saliran dan Pengairan Bahagian Bintulu, P’ng Ching Chuang.

Talib ditemani P’ng dan Dino meninjau projek melebar dan menaiktaraf sistem perparitan Sungai Sebab di Kampung Kemunting yang sudah siap sepenuhnya, Jumaat lalu.