BINTULU: Seorang lelaki terbunuh selepas kenderaan Perodua Alza yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok dalam kemalangan kendiri yang berlaku di lampu isyarat Daiken, Jalan  Tanjung Kidurong awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kendiri jam 4.15 pagi tadi, Assan Anak Bada, 36, dari Rumah Nancy Henry, Kampung Penempatan Baru, Jalan Samalaju maut serta merta di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu dalam kenyataannya berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan dari arah pusat bandar menuju ke Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong sebelum kenderaan salon yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan, sebelum merempuh sebatang pokok di bahu jalan.

Pemeriksaan oleh pasukan paramedik  Hospital Bintulu mendapati  mangsa sudah meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada bahagian kepala, ujarnya.

Mayat mangsa, kemudiannya, dirujuk ke rumah mayat Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

Kes  disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.