BINTULU: Parti Bumi Kenyalang(PBK) akan bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) pada Pilihan Raya Negeri(PRN) akan datang.

Presidennya, Voon Lee Shan berkata setakat ini, parti terbabit telah mengenalpasti beberapa calon berpotensi untuk diketengahkan terdiri daripada kalangan profesional dan pesara kerajaan.

Setakat ini, katanya, parti itu telah mengenalpasti dan akan mempertaruhkan Naib Presidennya, Peter Asut untuk bertanding di kerusi DUN Ba’kelalan.

Peter, 60,merupakan pesara kerajaan diuar-uarkan sudah bersedia untuk ‘menawan’ Ba’kelalan daripada penyandangnya Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Difahamkan, beliau(Peter) sudahpun bergerak bertemu rakyat pelbagai peringkat dan akar umbi.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Batu Lintang itu, bagaimanapun berkata, pada PRN akan datang, parti akan fokus kepada kawasan  bandar berbanding kawasan luar bandar ekoran menyedari parti itu bakal berdepan kesukaran dari segi logistik.

Jelas beliau, pada masa ini, ahli jawatankuasa parti giat turun padang untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai perjuangan dan hala tuju parti dalam ‘memperjuangkan kemerdekaan’ negeri termasuk memperkenalkan parti itu di peringkat akar umbi  untuk meraih sokongan rakyat, khususnya pengundi.

Sebagai parti tempatan dan diwakili sepenuhnya anak jati negeri ini, Voon berkata PBK tidak akan memberi laluan mudah kepada  calon daripada Gabungan Parti Sarawak(GPS) mahupun Pakatan Harapan(PH) atau Bebas, katanya kepada Suara Sarawak ketika ditemui pada Makan Malam PBK di salah sebuah restoran terkenal, di sini, malam tadi.

“Kami berharap lebih ramai pengundi akan menyokong PBK yang perjuangannya berjuang untuk kepentingan rakyat Sarawak dan perubahan diperlukan untuk rakyat menyuarakan hasrat dan kehendak mereka,”ujarnya lagi.

Kira-kira 350 orang menghadiri makan malam tersebut yang antara lain bertujuan bagi menerangkan kepada orang ramai tentang hala tuju dan perjuangan parti itu.

Naib Presiden PBK, Awang Badele Awang Ali, Peter Asut dan Dato George Martin, bendahari agung PBK, Jamie Tiew Yen Houng hadir sama.