ACAPKALI kita mendengar pemimpin tempatan kita membicara serta menekankan pentingnya mempertahankan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Bumi Kenyalang bertuah ini.

Negara ini sedia maklum kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak antara lambang perpaduan, keharmonian dan kekuatan rakyatnya yang boleh dijadikan model terbaik masyarakat berbilang etnik yang ingin menikmati kemakmuran hidup bersama.

Malah, masyarakat luar turut kagum melihat keunikan dan perpaduan kaum kerana perbezaan budaya dan kepercayaan agama dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum tidak menghalang mereka untuk bekerjasama seperti satu keluarga.

Senario ini turut mendorong kepada perkahwinan campur antara masyarakat pelbagai kaum berikutan hubungan akrab masyarakat sejak sekian lama. Perkahwinan campur ini melahirkan dan mewujudkan generasi hibrid di Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis di Sibu beberapa bulan lalu berkata, perkahwinan campur antara masyarakat pelbagai kaum di negeri ini sudah menjadi perkara biasa dan masyarakat negeri ini didapati lebih unik.

Menurutnya, ini secara langsung mengeratkan lagi hubungan serta perpaduan masyarakat. Selaku anak jati Sarawak, kita seharus berasa bangga ekoran dapat hidup dalam suasana aman damai, bersatu dan rukun. Pada masa yang sama, rakyat harus berfikir secara rasional mengenai hasrat PH untuk mewujudkan MPKKP yang dianggap mendorong kepada perpecahan masyarakat rumah panjang dan kampung.

Jangan hanya kerana sogokan elaun atau dana dijanjikan, masyarakat hilang pertimbangan sekali gus menggadai semangat perpaduan, bersatu hati dan suasana aman damai yang telah sekian lama dikecapi.

Jadi, kita di Sarawak akan tetap mengekalkan sistem JKKK bagi mentadbir serta mengurus sesebuah kampung atau rumah panjang kerana ia bersesuaian dengan adat serta budaya komuniti setempat.

Sematkanlah di minda dan sanubari akan betapa tingginya nilai perpaduan yang tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit atau harta benda. Utamakan Sarawak, Sarawak First.