KUCHING: Penerbit berita yang berpangkalan di Sarawak, SV News Sdn Bhd (SV News) memeterai kerjasama strategik dengan kumpulan media bersepadu sepenuhnya di Malaysia, Media Prima Berhad (Media Prima) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini, bagi meningkatkan perkhidmatan media dan kandungan di Sarawak.

MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SV News Dr. Jeniri Amir dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid, dengan disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid pada majlis yang berlangsung di Dewan Kenyalang, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif, Operasi, Berita dan Editorial Media Prima, Mustapha Kamil Mohd Janor, Datuk Lee Kim Shin serta menteri-menteri kabinet dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.

Kerjasama melalui akhbar-akhbar terbitan SV News iaitu Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune, dengan memanfaatkan platform-platform bersepadu Media Prima yang mempunyai jangkauan audiens dan pengalaman luas dalam penerbitan berita, kandungan pendidikan, operasi penyiaran, penyediaan kandungan dan khidmat runding digital.

Keseluruhan kerjasama meliputi bidang pembangunan sumber manusia, kepakaran teknikal, penerbitan berita, pertukaran kandungan, pemasaran dan promosi kandungan berunsur pendidikan bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah, di samping memasar dan mempromosi program-program domestik dan antarabangsa di Sarawak.

Sebagai permulaan, Media Prima dan SV News telah pun bekerjasama dalam pelbagai aktiviti termasuk pengedaran kandungan pendidikan akhbar Berita Harian (BH) iaitu BH Didik, BH Minda dan BH Skor sebagai sisipan dalam akhbar Suara Sarawak dan kandungan pendidikan akhbar New Straits Times iaitu NST School Times sebagai sisipan dalam akhbar New Sarawak Tribune.