BINTULU: Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri merampas 16,000 liter minyak diesel dan 4,000 liter petrol bernilai RM52,840 yang disimpan tanpa permit sah di dalam tangki dan tong di sebuah kawasan rumah tidak bernombor di Kilometer 21 Jalan Pesisir Miri-Bintulu.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA Miri, Supt Tan Hiap Seng, berkata dalam operasi 12 tengah hari Isnin lalu, pasukan dari Cawangan Risik BN 12 PGA Miri turut merampas empat unit pam enjin dan hos yang dipercayai digunakan untuk memindahkan minyak diesel dan petrol.

Semasa pihak polis menghampiri kawasan rumah berkenaan, katanya, seorang pekerja telah bertindak melarikan diri ke kawasan hutan di belakang.

Hasil pemeriksaan telah menemui sejumlah 16,000 liter minyak diesel dan 4,000 liter petrol yang disimpan di dalam tangki dan tong di kawasan rumah terbabit berserta empat unit pam enjin dan hos yang digunakan untuk memindahkan minyak.

Dipercayai, minyak diesel dan petrol terbabit dijual kepada ladang-ladang sekitar Bintulu.

Kesemua barangan rampasan termasuk peralatan akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hel Ehwal Pengguna Cawangan Bintulu untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Anggota Batalion 12 Pasukan Gerakan Am Miri memeriksa tangki yang digunakan untuk menyimpan minyak diesel dan petrol tanpa permit sah di sebuah kawasan rumah tidak bernombor di Kilometer 21 Jalan Pesisir Miri- Bintulu.