KUCHING: Kerajaan digesa membangunkan semula Projek Perumahan Rakyat Pusa yang tergendala sejak sekian lama. Razaili Gapor (GPS-Beting Maro) menyambut baik usaha kerajaan menjaga kesejahteraan rakyat.

“Difahamkan Kerajaan Sarawak 2020 menyediakan 2,500 Rumah Spektra Permata (RSP) untuk faedah kumpulan berpendapatan rendah. “Jadi, kalau di Beting Maro Kerajaan Sarawak harus menangani Projek Perumahan Rakyat Pusa yang tergendala.

“Justeru saya mencadangkan ia dibangunkan semula melalui konsep Projek Penempatan Nelayan di RGC Beladin,” ujarnya. Beliau berkata demikian semasa perbahasan menyokong Rang Undangundang Perbekalan (2020) dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan 2020 di Dun, semalam.

Dalam perkembangan sama katanya, terdapat keperluan untuk kerajaan melaksanakan skim pembesaran kampung bagi Kampung Pusa, Beladin, Tambak, Spinang dan Semarang. Razaili turut mengharapkan kerajaan memberikan tumpuan terhadap perkara-perkara lain yang diperlukan rakyat.

“Saya juga menyambut baik hasrat Kerajaan Sarawak untuk meneruskan pengukuran tanah NCR walaupun Kerajaan Persekutuan tidak menyediakan peruntukan.

Sehubungan itu, saya mohon kerajaan menyukat tanah NCR milik rakyat di Dun Beting Maro,” jelasnya.

Selain itu katanya, keadaan bangunan sekolah SK Kalok dan SK Tambak yang uzur memerlukan perhatian segera dan wajar dibina baharu.

Daerah Pusa juga memerlukan Kompleks Sukan, pusat IKS dan Anjung Usahawan di Pusa dan RGC Beladin bagi menyediakan kemudahan untuk usahawan muda.

Beliau mencadangkan Belanjawan Sarawak 2020, RM789 juta dapat dipertimbangkan juga untuk melaksana Taman Pertanian Sungai Beras, Taman Industri Nipah Kampung Tambak, Projek Fertigasi Mengguna IoT di RGC Beladin dan membangunkan Zon Industri Akuakultur (ZIA) di kawasan pinggir tebingan Dun Beting Maro.

Bagi menambah baik jaringan jalan pesisir, beliau turut mencadangkan pembinaan jalan baharu Tanjung Lilin Beladin ke Tanjung Asam. Katanya, kerajaan perlu menaik taraf jalan penghubung Pusa ke Batang Maro.