NAIB juara Liga M3, Kuching FA melakar kemenangan ke-18 setelah membenam Batu Dua 4-1 dalam aksi kedua terakhir di Stadium Sarawak malam kelmarin.

Pemain import dari Jepun, Yuta Suzuki meledakkan dua gol, manakala dua lagi gol disumbangkan oleh Samsu Alam dan Joseph Kallang Tie.

Menurut jurulatih Kuching FA, Ideris Untong, mereka agak bergelut pada babak pertama. “Batu Dua mempunyai pemain berpengalaman… jadi ia bukan mudah bagi kami. “Namun kami menukar rentak pada babak kedua, dan para pemain begitu bersemangat. Usaha kami berhasil,” jelas.

Ideris turut mengucapkan penghargaan kepada para penonton kerana masih sudi ke stadium memberikan sokongan padu walaupun tidak apa yang ingin dikejar. “Saya berharap, ia akan diteruskan dalam aksi penutup nanti,” katanya.

Kuching FA akan menentang Ultimate FC dalam aksi terakhir di Stadium Sarawak Sabtu ini. Dalam perlawanan malam kelmarin menyaksikan Kuching FA mengasak ke kubu Batu Dua seawal minit permainan. Mereka menemui gol pertama pada minit ke-18 menerusi Yuta Suzuki.

Namun Batu Dua mengimbangi kedudukan 1-1 12 minit kemudian melalui Mohd Faizal Abdul Aziz. Permainan agak seimbang selepas itu, namun Kuching FA kembali di depan (2-1) pada minit ke-76 hasil jaringan Samsu Alam. Sepuluh minit sebelum tamat Kuching FA terus mengasak dan menjaringkan dua gol melalui Joseph (minit ke-80) dan Yuta Suzuki minit ke-83.