SERIAN: Penduduk di Dun Tarat perlu merebut peluang yang ada dengan mengubah budaya pertanian konvensional kepada pertanian moden.

Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah berkata, dalam era ekonomi digital pengaplikasian teknologi moden dalam pertanian amat mustahak.

Jelasnya, penggunaan teknologi terkini dijangka akan meningkatkan produktiviti dan kualiti produk pertanian yang dihasilkan.

“Ke arah memodenkan industri pertanian, penduduk kampung khususnya di Dun Tarat harus berani menceburi bidang ini dengan kaedah yang moden. “Jika sukar memulakan inisiatif itu, mereka boleh berhubung dengan Jabatan Pertanian bagi memperoleh penjelasan bagaimana untuk mendapatkan bantuan teknologi pertanian,” katanya semasa Majlis Penyerahan Anak Pokok Durian Musang King di Dewan Serbaguna Kampung Sarig di sini, kelmarin.

Roland yang juga Adun Tarat menambah, penyerahan anak pokok durian Musang King membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

Katanya, semua usaha tersebut bagi memastikan taraf ekonomi penduduk luar bandar dapat dilonjakkan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak. “Saya juga mencadangkan agar Jabatan Pertanian Daerah Siburan berkerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Siburan dan Serian untuk membantu penduduk kampung,” ujarnya.