KUCHING: Seramai 25 penghuni Rumah Seri Kenangan Kuching disantuni dalam Program Belaian Kasih anjuran SEDC dan Ernst & Young di sini, semalam.

Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata, SEDC melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan serta tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu golongan yang memerlukan.

“Sebagai agensi Kerajaan Sarawak yang prihatin, kita menjalankan program dan aktiviti bercorak kemasyarakatan membabitkan golongan kurang bernasib baik tanpa mengira bangsa dan agama.

“Nilai kebersamaaan mestilah wujud dalam masyarakat majmuk. Ia akan menyumbang kepada kemakmuran rakyat berbilang kaum,” ujar beliau.

Tambahnya, melalui program CSR, SEDC boleh menyumbang tenaga dan menyokong aktiviti bercorak kemasyarakatan.

“Kita berganding bahu dengan rakan dari agensi kerajaan lain, swasta dan anak syarikat SEDC  ketika merancang serta menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

“Inisiatif sedemikian disyorkan sebagai salah satu daripada aktiviti budaya korporat yang memberi tumpuan kepada isu-isu sosial dan meningkatkan kesedaran menyumbang kembali kepada golongan yang memerlukan,” jelasnya.

Abdul Aziz juga berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang komited membela golongan kurang bernasib baik.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak sentiasa mencari pendekatan untuk menyediakan pelbagai skim bantuan termasuk inisiatif baharu yang diumum semasa pembentangan Belanjawan Sarawak 2020.

“Melalui inisiatif dan program yang dijalankan, ia dapat membantu meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik serta memberi pengalaman cukup indah kepada mereka.

“Saya berharap dengan kesedaran tinggi bahawa golongan kurang baik perlu disantuni, maka SEDC meneruskan program CSR pada masa akan datang,” tegasnya.

Selain mendapat bantuan duit saku, penghuni Rumah Seri Kenangan turut menerima sumbangan barangan kegunaan harian daripada SEDC dan Ernst & Young. Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Abdul Kadir, Pengetua Rumah Seri Kenangan Peter Gabong dan Pengurus Ernst & Young, Rachel turut hadir.