KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 41 sekolah di Sarawak mencapai standard lima bintang bagi pengunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan pengurusan dan pentadbiran sekolah (PdT) tahun ini. Pengarah Pendidikan Negeri Dr Azhar Ahmad berkata, ini berdasarkan Laporan Smart School Qualification Standards (SSQS) terkini yang menarafkan standard bintang kepada 1,457 sekolah di negeri ini.

“Secara terperinci, 2.81 peratus atau 41 sekolah mencapai standard lima bintang dan membudayakan ICT dalam PdP dan PdT dengan cemerlang,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah (APS) 2019 Peringkat Negeri di sini, semalam.

Dr Azhar berkata, 20.18 peratus sekolah mencapai standard empat bintang, manakala 70.69 peratus sekolah mencapai standard tiga bintang dengan keseluruhan 93.68 peratus daripada 1,457 sekolah di negeri ini mencapai atau melepasi taraf standard minimum tiga bintang. “Namun masih terdapat 6.31 peratus sekolah mendapat standard dua bintang ke bawah. Sekolah ini kebanyakannya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang memerlukan bantuan melonjakkan pengunaan ICT,” katanya.

Dr Azhar berkata, ketika Sarawak dilanda jerebu sehinggakan sebahagian besar sekolah ditutup, ujian litmus diadakan untuk mengukur tahap pembudayaan ICT di sekolah di negeri ini.

“September lalu, pelantar pembelajaran digital digunakan secara optimum oleh guru, murid dan sekolah sehingga mencapai penggunaan paling tinggi iaitu sebanyak 1.43 juta hits,” katanya sambil memberitahu, Sarawak bersedia melangkah lebih jauh dalam era Revolusi Industri Ke-4. Terdahulu, SMK Bandar Kuching No.1 menjadi juara Pertandingan Membuat Animasi DiStA 2019 kategori sekolah menengah.

Manakala SK Sg Penipah, Mukah menjadi juara kategori itu bagi sekolah rendah. Bagi pertandingan Penceritaan Animasi Digital (DST) kategori sekolah menengah dimenangi SMK Bandar Kuching No.1 dan juara kategori itu bagi sekolah rendah ialah SK Temong, Serian.

Majlis itu juga menyaksikan Anugerah Ikon Guru Penyelaras Bestari/ Guru Penyelaras ICT diterima Wee Yin San dari SMK Bandar Kuching No.1, Anugerah Ikon Guru Perpustakaan dan Media 2019 diterima Yap Lee Son (SMK Bintulu). Anugerah Pencapaian Murid Sekolah Rendah Peringkat Antarabangsa diterima Jagstine Ampari Uji (SK Batang Lassa) dan Anugerah Pencapaian Pelajar Sekolah Menengah Peringkat Antarabangsa diterima Lau Ge Siong, Lau Chiew Hong, dan Bartholomew Lau Sie Xiong (SMK Tinggi Sarikei).

Anugerah Microsoft Innovative Educator Expert pula diterima Bustaman Badiman (SK Bandaran Sibu No.2) , Havery Danyang (SK Kampung Penasu), Hairul Hairi Hasnan (SK Semop), Khairul Azlan Mohd Faizul ( SK Ulu Daro) dan Mohamad Mukhairi Sa’ari (SK Semop) dan Anugerah Terbaik SSQS diterima Joseph Ling Sui Ying (SJKC Kai Chung), Bujang Awang Jaman ( SMK Kota Samarahan) dan Ong Jing Jing (SJKC Siung Hua).