KUCHING: Rangkaian infrastruktur jalan raya yang baik memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara kawasan luar bandar dengan bandar selain membantu pertumbuhan ekonomi yang lebih besar, mewujudkan pekerjaan serta meningkatkan daya saing.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr. James Jemut Masing berkata, pembinaan rangkaian jalan pantai dan jalan utama kedua sedang diusahakan melalui pelbagai peringkat pelaksanaan.

Katanya, rangkaian pantai pesisir dibahagikan kepada beberapa komponen termasuk menggantikan tujuh feri kepada jambatan konkrit di Batang Rambungan,

Batang Lupar, Batang Saribas, Sungai Krian, Batang Paloh, Muara Lassa dan Batang Igan. “Jalan utama kedua berperanan sebagai laluan alternatif kepada Rangkaian Jalan Pantai dan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Kewujudan laluan ini mampu meningkatkan mobiliti di samping memendekkan masa dan jarak perjalanan dari Kuching ke Simanggang, Betong dan Sibu. “Dengan siapnya projek mega ini nanti, hubungan antara bandar, rumah panjang dengan kampung di Sarawak menjadi lancar. Rakyat berpeluang menikmati perjalanan yang lebih singkat dan selesa. Ia pasti membantu penjimatan penggunaan bahan api,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya di Persidangan Dun semalam.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, rangkaian jalan raya yang sistematik bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat tetapi juga membantu melonjak produktiviti dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, kerja pembinaan Fasa I Lebuh Raya Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya Malaysia diumumkan pada September 2019 bahawa model pelaksanaan untuk Pan Borneo Highway Sarawak (PBHS) diubah kepada model pembangunan konvensional kerajaan.

“Perjanjian Rakan Kongsi Penyerahan Projek (PDPA) akan ditamatkan mulai 19 Februari 2020. Peranan PDP, iaitu Lebuh Raya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) akan ditugaskan ke agensi utama Kementerian, JKR Sarawak, yang bertindak bagi pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR).

“Pembekal perkhidmatan pengurusan pembinaan atau Perunding Pengurusan Projek (PMC) akan dilantik oleh KKR untuk membantu dalam pengurusan projek. “Kementerian saya akan memantau dan terus memberikan sokongan bagi pihak Kerajaan Sarawak,” katanya.