KUCHING: Kedudukan kewangan yang sihat selain rizab yang besar serta gred pelaburan yang terpuji membolehkan Sarawak berkeupayaan untuk menyediakan Belanjawan Sarawak 2020 yang inklusif dan bersifat ‘people-centric’. Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Kedua Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, dakwaan pembangkang berhubung Belanjawan Sarawak 2020 tidak realistik sesuatu yang tidak berasas.

Katanya, dakwaan tersebut menggambarkan pasukan PH begitu naif dan tidak memahami bagaimana pengurusan kewangan sektor awam dan belanjawan negeri dibentuk.

“Selain itu mereka sebenarnya ingin menutup kelemahan Belanjawan 2020 Kerajaan Persekutuan. “Sedangkan, dalam usaha memajukan pertumbuhan Sarawak agar setanding dengan negeri lain di Semenanjung, adalah penting untuk kita memanfaatkan mekanisme pembiayaan alternatif,” katanya semasa melakukan penggulungan kementeriannya di Dun, baru-baru ini.

Jelasnya, program perbelanjaan pembangunan 2020 Sarawak dibiayai melalui inisiatif pembiayaan alternatif untuk melaksanakan pelbagai program dan projek strategik utama.

“Saya ingin menekankan bahawa Belanjawan Sarawak antara lain berdasarkan andaian tertentu yang kukuh. Ini termasuk unjuran hasil cukai dan bukan cukai pada tahun semasa,” ujarnya.