LUNDU: Ibu bapa perlu memupuk minat anak-anak mereka supaya membaca serta menghayati isi kandungan al-Quran sejak awal lagi. Adun Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu berkata, pemahaman dan penghayatan isi kandungan al-Quran penting untuk melahirkan modal insan berketerampilan tinggi.

Jelasnya, generasi muda kini seharusnya menjadikan membaca al-Quran sebagai amalan harian berbanding menghabiskan masa dengan melayari laman sosial.

“Sebagai umat Islam, seseorang itu harus mengurangkan aktiviti kurang bermanfaat seperti melayari laman sosial sebaliknya menjadikan al-Quran sebagai rujukan dalam kehidupan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Lundu, kelmarin. Teks ucapannya dibaca oleh Pegawai Agama Jabatan Agama Islam Bahagian Kuching Ramzen Ambi.

Jamilah menambah, program itu mampu meningkatkan lagi martabat tilawah al-Quran ke satu tahap membanggakan.

Justeru katanya, budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran seharusnya disemai pada peringkat awal dan dilestarikan sebagai agenda kehidupan harian. “Ini sekali gus membentuk nilai kepimpinan setiap Muslim dan mampu meningkatkan kadar celik al-Quran,” katanya lagi.