KUCHING: Laungan ‘Utamakan Sarawak’ oleh kira-kira 5,000 delegasi bergema dalam Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bagi menyambut ketibaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sempena Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS akan merasmikan konvensyen yang julung kali diadakan ini.

GPS ditubuhkan sebagai platform untuk memperkasa pembangunan Sarawak mengikut acuan Sarawak sendiri dan memperjuangkan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Platform GPS juga telah memberi ruang kepada Sarawak untuk mengorak langkah ke arah penglibatan langsung dalam aktiviti membangunkan sumber aslinya terutama minyak dan gas.