LELAKI RENTA PENUNGGANG SEJARAH

Dia, lelaki renta
setia menunggang sejarah
meskipun derapnya semakin sayup
dilupai masa.

Dia mahu memacu laju
agar sampai ke mahligai tuju
tapi kisah silamnya
cuma sang kuda tua mengah
tercungap-cungap mengejar zaman
nan lincah berubah.

Dia masih menunggang sejarah
untuk terus berwatak gagah
cuba mengawet wajah gemilang
yang telah berkedut dan usang.

 

QASIDAH CINTA
SULTAN ABDUL HAMID II

Telah kuluncurkan rasa
dengan bahasa puja berjela-jela
sudah kuhantarkan desah rindu
di kederasan jeram air mata
masih terasa timbangan kurang
dalam mengenang utusan tersayang.

Andai diberikan pilihan
tidak inginku bergelar sultan
lebih kuimpikan jadi si tukang sapu
di luar pintu rumah kekasih
pada zaman paling jernih.

Dengan tangan sendiri
kubuatkan penyapu berulang kali
sebagai pembersih kotor debuan
di kubah hijau makam insan pilihan.
Alangkah indah
jika dapat menukil cinta
dengan ukiran yang berbeza.

 

TAWADUK

Kau hanya dapat menjejak
lantai tawaduk
seandai mampu tunduk
menerima pesan kebenaran
daripada setiap makhluk
meskipun ekor cacing di tanah
yang mengisyaratkan arah
atau mata burung
yang menunjukkan lorong.

 

BIODATA

Abizai nama pena bagi Zainal Abidin Suhaili. Dilahirkan di Kuching pada 19 Disember 1966. Mendapat pendidikan sehingga lulus SPM di SMK Dato Permaisuri, Miri. Beliau bergiat aktif dalam Persatuan Penulis Utara Sarawak (Putera) dan kini memegang jawatan Ketua I sejak 2002. Pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001 melalui Kumpulan Puisi Membentuk Elok Di Teluk Esok, Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006-2007 dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008-2009 masing-masingnya melalui puisi berjudul ”Hujung dan Pangkal” dan ”Tidak semua Bertemu Mutiaria”. Di samping menulis, beliau juga giat mencipta dan menyanyikan lagu-lagu puisi.