KUCHING: Seramai 47 peserta menamatkan latihan Kursus Asas Pengiring Orang Kenamaan dan Kursus Asas Perlindungan Orang Salah Khas bermula 2 November hingga semalam di Batalion 11 PGA Batu Kawa.

Komander Briged PGA Datuk Khaw Kok Chin berkata, peserta terdiri daripada pegawai kanan dan rendah Cawangan Keselamatan Astana, Cawangan Khas IPK, Briged PGA Sarawak, Jabatan Siasatan Jenayah IPK dan luar daerah Kontinjen Negeri.

Menurutnya, penyertaan warga PDRM dalam kursus itu bertujuan memperkasa peranan anggota sebagai pengiring rapat dengan lebih berkesan serta bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang melaksanakan tugas.

“Seramai 24 peserta berdaftar di bawah Kursus Asas Pengiring Orang Kenamaan, manakala 23 orang menyertai Kursus Asas Perlindungan Orang Salah Khas.

Foto SV/Nadim Bokhari 

“Kursus ini memberi isyarat bahawa PDRM sentiasa memikirkan kaedah serta cara memperkasakan peranan kami. “Sebagai agensi penguat kuasa utama, menjadi tanggungjawab menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negara secara cekap dan berhemah,” katanya merasmikan penutupan majlis itu di Padang Kawad PGA, semalam.

Tegasnya, kursus pengiring akan dilakukan secara berterusan bagi memantapkan kredibilti warga PDRM dalam melaksanakan tugas-tugas berkaitan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada penganjur yang memastikan program itu dijalankan dengan jayanya. Seramai 12 anggota Unit Tindak Khas Bukit Aman diketuai Supt Abd Rahim Rahman hadir berkongsi ilmu bersamasama Kontinjen Sarawak dalam majlis tersebut.